Di satu pihak, Gelespe, singa yang mahu memertahankan haknya. Walaupun sebenarnya raja perlu dipilih, namun populariti keluarga mereka menyebabkan takhta itu diturunkan secara turun menurun. Bagi Gelespe, dialah yang patut menggantikan bapanya.
Berdiri di belakang Gelespe adalah isterinya, diikuti orang-orang kanannya. Adalah penting bagi mereka untuk mempertahankan Mislei. Savana ini kaya dengan hidupan. Jika Gelespe terus berkuasa, daging segar akan terus disajikan. Jika tumpas, nasib mereka belum pasti bagaimana pengakhirannya.
Di satu pihak lagi, Mislei, singa yang pernah tewas kepada raja sebelum ini. Mislei mash ingat bagaiman dia dihalau dengan cara yang memalukan. Kini dia kembali dengan sokongan orang yang bersimpati dengannya. Sokongan yang diberikan tidak terperi banyaknya.
Ada rahsia yang pengikutnya tidak tahu. Mislei membiarkan rahsia itu terus menjadi rahsia. Walaupun Mislei tahu, kalau-kalau rahsianya terbongkar, pengikutnya pasti tidak percaya malah akan mempertahankan dirinya.
Berkatalah Gelespe kepada pengikutnya," Savana ini kaya. Saya akan beri kepada kamu sebahagian hasilnya. Tewaskan Mislei dan kamu akan kenyang selamanya."
Maka bersoraklah pengikut-pengikut Gelespe.
Mislei juga menyampaikan ucapan kepada pengikutnya, " Gelespe perlu dijatuhkan. Kita akan beri hak kesamaan kepada semua."
Maka bersoraklah pengikut-pengikut Mislei.
Mendengar sorakan yang kuat untuk Mislei itu, Gelespe cuba menyemarakkan semangat pengikutnya pula.
"Apa yang mereka perjuangkan adalah untuk Gelespe semata-mata dan bukan memperjuangkan hak kita semua. Betapa butanya pengikut-pengikutnya. Pekung di dada sudah dibukakan tetapi mereka masih menyokongya"
Maka bersoraklah pengikut-pengikut Gelespe.
Mislei yang mendengar ucapan itu berasa berang. Dia berkata kepada pengikutnya," Tidakkah mereka tahu yang mereka hanya berjuang untuk Mislei dan orang-orang kanannnya. Mereka hanya dapat secebis dari seketul daging. Pelik bukan, bagaimana mereka masih boleh rasa gembira?"
Maka bersoraklah penyokong Mislei.
Selesai menaikkan semangat pengikut masing-masing, dua kumpulan singa itu pun bersedia untuk pertarungan. Memandang lawan masing-masing dengan bengis. Kuku dikeluarkan. Ngauman demi ngauman kedengaran.
Kedua-dua kumpulan itu menyerang. Gigitan dibalas gigitan. Cakaran dibalas cakaran. Masing-masing berhempas pulas untuk pemimpin mereka.
Gelespe dan Mislei memerhatikan pertarungan itu dari tempat masing-masing. Kedua-duanya yakin yang mereka akan menjadi raja savana itu. Satu persatu singa-singa yang bertarung itu tumbang. Sama ada dari pihak sendiri ataupun pihak lawan.
Ketika pertarungan itu tiba di penghujungnya, hanya beberapa ekor sahaja yang masih berdiri. Itu pun mereka sangat lemah dan cedera.
Tiba-tiba muncul sekawan dubuk dari celah-celah pokok di kawasan itu. Mereka menyerang saki-baki singa yang masih berdiri. Walaupun jumlah dubuk itu tidak banyak, dengan mudah mereka membunuh singa-singa yang sudah tercedera dan kelesuan itu. Gelespe dan Mislei juga tidak terlepas. Belum sempat mereka melarikan diri, dubuk-dubuk itu berjaya menghalang mereka. Kedua-duanya dibunuh. Tiadalah peluang mereka untuk menjadi raja.
Savana itu kini mempunyai raja baru. Bukan dari keturunan singa yang gagah perkasa. Pertelagahan itu menyebabkan mereka hilang kerajaan mereka sendiri. Berbanggalah dubuk-dubuk yang lebih bijak mengambil kesempatan itu. Sekarang, merekalah yang menjadi raja. Selama ini mereka hanya memakan bangkai tinggalan singa-singa itu. Kini mereka semua isi savana itu menjadi milik mereka.
Boleh juga dibaca di Buasir Otak
No comments:
Post a Comment