Saturday, June 14, 2014

Hingga Hujung Nyawa

Tiada apa yang penting bagi Zahid selain Lina. Cinta terhadap kekasihnya itu melebihi segala-galanya. Apabila berita itu sampai di telinganya, dia merasakan dunia seperti berhenti. Meratapi kesedihannya. Zahid nekad. Dia akan membuktikan betapa besar cintanya terhadap Lina.

Fikiran Zahid kembali kepada dua tahun dahulu. Dia yang sedang menunggang motosikal, milik bapanya dan minyak diisi dengan duit ibunya, terpegun dengan gadis yang memakai baju kurung putih dan berkain biru itu. Gadis itu berjalan perlahan-lahan di tepi jalan.


Zahid nekad. Dia memberhentikan motosikalnya betul-betul di hadapan gadis itu. Gadis yang terkejut dengan perlakuan Zahid terjatuh. Zahid segera membantu gadis tersebut. Di situlah bermulanya perkenalan Zahid dan Lina.

Episod cinta mereka menyemarak. Pelbagai kenangan manis dibina bersama. Zahid berasa bangga apabila Lina mempamerkannya di kalangan rakan- rakan Lina. Zahid merasa gembira yang Lina suka teman lelakinya berumur lebih tua.

Kehidupan Zahid untuk dua tahun ini didedikasikan untuk Lina. Bangun sahaja dari tidur, Zahid akan menghidupkan motosikalnya dan menunggu Lina di persimpangan jalan. Dia akan membawa Lina ke sekolah. Pada waktu tengah hari, Zahid akan terpacak di hadapan pagar sekolah untuk menjemput kekasihnya itu. Begitulah rutin Zahid seharian kecuali di hujung minggu.

Zahid beruntung kerana dilahirkan sebagai anak tunggal. Apa sahaja hajatnya, pasti ditunaikan ibunya. Ayahnya pula tidak ambil pusing. Wang dihulur setiap hari. Zahid menggunakan wang itu sebaik-baiknya. Dia memewahkan Lina. Gadis pujaan yang dicintai lebih dari segala-galanya.

Namun baru-baru ini, percintaan suci mereka dilanda badai. Ibu bapa Lina tidak merestui percintaan mereka. Dengan alasan yang Lina masih muda dan peperiksaan besar yang akan ditempuhi Lina, bapa Lina menghalang mereka dari berjumpa.

Tidakkah mereka tahu betapa agungnya percintaan mereka? Tidakkah mereka tahu mereka saling memerlukan? Tidakkah mereka sedar mereka sedang menzalimi cinta suci dua insan?

Dalam diam-diam mereka tetap berjumpa. Biarlah apa nak jadi, Zahid tahu cintanya tebal. Mampu melalui ranjau yang berduri ini.

Zahid memberanikan diri berjumpa dengan ibu bapa Lina. Dia mahu mengikat tali perkahwinan dengan Lina.

Namun keinginannya itu ditolak mentah-mentah. Alasan mereka? Lina masih bersekolah. Zahid tidak berkerja.

Zahid pulang dengan kehampaan dan kemarahan. Dia tidak faham apa yang ibu bapa Lina risaukan. Bukankah cinta mengatasi segalanya? Duit bukan ukuran? Umur bukan penghalang?

Apabila dia mendapat tahu ibu bapa Lina telah membawa Lina berpindah ke rumak ibu saudaranya, hati Zahid luluh. Sudahlah lokasinya tidak dinyatakan. Zahid sangat rindu pada Lina.

Hari ini dia akan buktikan. Buktikan betapa cintanya dia kepada Lina. Ibu bapa Lina harus menjadi saksi.

Zahid menuju ke rumah ibu bapa Lina. Dia berdiri di luar pagar. Memanggil Lina. Ayah Lina keluar dan mengatakan Lina sudah berpindah. Untuk menjauhkan mereka. Zahid diherdik dan dihalau.

Azam Zahid semakin menebal. Cintanya akan terbukti. Ibu bapa Lina akan tahu betapa dalamnya cinta mereka.

Pisau dikeluarkan. Diacukan pada lehernya sendiri. Ayah Lina tergamam. Ibu Lina pula menjerit-jerit cuba menghalangnya. Baru mereka tahu betapa sayangnya dia kepada Lina.

Dengan sekali torehan, darah membuak-buak keluar dari leher Zahid. Zahid tidak menjerit. Zahid tidak merasa kesakitannya. Cintanya terbukti. Mereka perlu tahu! Dia mencintai Lina sehingga hujung nyawa.

Tujuh tahun berlalu. Rumah Lina penuh dengan sanak saudara dan sahabat handai. Datang meraikan perkahwinannya dengan seorang jurutera. 


Sebelum dibawa ke jinjang pelamin, mempelai itu berdiri betul-betul di tempat Zahid menoreh lehernya sendiri. Namun Lina tidak terasa apa-apa. Nama Zahid telah lenyap dari mindanya.

No comments:

Post a Comment