Sunday, June 22, 2014

DWI (7): Lawatan

Inspektor Rahman tiba di Rumah Bakti. Dia meletakkan kenderaannya di hadapan pejabat pengurusan. Setelah memperkenalkan dirinya, dia dibawa berjumpa dengan pengurus rumah anak yatim itu.

Puan Normah, perempuan berusia di dalam lingkungan 50an itu, duduk di kerusinya. Mukanya tenang dan sentiasa tersenyum. Terpancar cahaya keibuan di mukanya. Mungkin itu yang membantu dia menguruskan rumah ini dengan komited.
Setelah memperkenalkan diri dan berbual kosong, Inspektor Rahman menyatakan tujuannya.
"Saya sedang menjalankan satu siasatan kes pembunuhan. Untuk membantu siasatan, saya memerlukan maklumat tentang satu gadis. Dia pernah menetap di sini sebelum diambil sebagai anak angkat."

"Siapa nama gadis itu?" soal Puan Normah.

"Sofea...," Inspektor Rahman perasan wajah tenang Puan Normah sedikit berubah."... Binti Salleh. Dia diambil sebagai anak angkat oleh Dato' Hisham dan Datin Sofea.

Puan Normah hanya berdiam diri. Muka Inspektor Rahman ditenungnya dalam-dalam. Kemudian dia bangun dan menuju ke kabinet yang menyimpan beratus-ratus fail. Dia mengeluarkan satu fail dan kembali duduk di hadapan Inspektor Rahman.

Tiada soalan yang datang dari mulut Puan Normah menandakan dia tahu siapa yang Inspektor Rahman maksudkan. Wajah tenang yang berubah? Itu tanda ada cerita disebalik nama Sofea.

Selepas membelek fail dihadapannya, Puan Normah berkata,"Sofea datang ke rumah ini selepas kematian ibu bapanya. Dia dibawa masuk semasa berumur 7 tahun. Dua tahun selepas itu, Sofea diambil sebagai anak angkat oleh Dato' Hisham dan Datin Soraya."

Semuanya sudah diketahui Inspektor Rahman. Namun dia terus berdiam dan mendengar dengan tekun.

"Saya ada pengalaman dengan Sofea."

Mata Inspektor Rahman sedikit terbuka. Dia tahu Puan Normah perasan perubahan wajahnya.

"Ibu Sofea mati dibunuh." Inspektor Rahman duduk menegak.

"Dia dibunuh oleh suaminya sendiri, Salleh." Inspektor Rahman merapatkan kerusinya.

"Kemudian Salleh membunuh dirinya sendiri. Semua benda berlaku di hadapan mata Sofea," sambung Puan Normah.

"Semasa dia baru masuk, Sofea sentiasa menyisihkan diri. Pada mulanya kami sangkakan itu adalah kesan trauma yang dihadapinya," kata Puan Normah. Dia memperbetulkan kaca matanya.

"Kemudian kami menerima pelbagai laporan dari penghuni asrama. Pandangan bengis, senyuman menakutkan dan yang paling teruk adalah kecederaan. Ada dua penghuni telah dicederakan oleh Sofea. Kami terpaksa mengasingkan Sofea dari penghuni lain," kata Puan Normah lagi.

Puan Normah berhenti seketika dan terus menyambung,"Tetapi selepas lebih kurang setahun, Sofea tiba-tiba berubah. Dari seorang budak yang pendiam tetapi agresif menjadi budak yang periang dan petah bercakap. Selepas memastikan keadaannya stabil, kami memindahkannya kembali tinggal dengan penghuni lain. Selepas itu dia diambil anak angkat oleh Dato' Hisham."

Inspektor Rahman menulis beberapa nota dan bertanya kepada Puan Normah," Sofea tiada adik beradik lain? Atau saudara mara?".

"Sofea anak tunggal. Tentang saudara mara saya tidak pasti. Tiada siapa yang datang melawatnya," jawab Puan Normah.

Penerangan Puan Normah dirasakan cukup. Selepas Inspektor Rahman mengucapkan terima kasih, Inspektor Rahman beredar dari pejabat Puan Normah.

Bengis. Senyuman. Agresif. Tiga perkataan bermain di fikiran Inspektor Rahman.

Ketika dia membuka pintu keretanya, Imspektor Rahman melihat Puan Normah berjalan pantas ke arahnya.

"Saya terlupa memberitahu satu perkara Inspektor. Semasa Sofea dalam keadaan agresif, dia menyuruh penghuni lain memanggilnya Zetty," kata Puan Normah.

Kini, empat perkataan bermain di fikiran Inspektor Rahman.


Bersambung...

1 comment: