Saturday, June 21, 2014

Mak Leha Belajar ICT

Di hari pertama Mak Leha masuk ke Pusat Jalur Lebar Komuniti di kampungnya, dia terasa janggal. Namun semangatnya diperkuatkan. Dia ingin belajar. Itu yang utama.

Pada mulanya, warga emas sepertinya diajar membuka laman web kerajaan. Segala tunjuk ajar diberikan Penyelia IT pusat tersebut. Mak Leha kagum bagaimana semua informasi dapat diperolehi di hujung jari. Namun Mak Leha masih dahagakan ilmu. Dia mahu belajar lebih lagi.

Mak Leha belajar tentang apa itu komputer. Dari skrin, papan kekunci, tetikus, unit pemprosesan dan sebagainya. Sepanjang hidupnya, lebih kurang 60 tahun, ini kali pertama Mak Leha mengakui yang ilmu dan pengalamannya cetek.

Gambar Hiasan
Dia masuk ke kelas Microsoft Office. Walaupun dia yang paling tua di kelas tersebut, dia tidak ambil peduli. Selepas beberapa minggu Mak Leha sudah pandai menulis resipi-resipi menggunakan Microsoft Words. Dia juga belajar menggunakan printer. Segala perjalanan wang keluar masuk untuk  gerai nasi lemaknya direkod dalam Microsoft Excel.

Mak Leha kagum betapa ICT dapat memudahkan pelbagai urusannya. 

Selepas habis semua kursus dihadirinya, dia mahu belajar satu benda baru pula. Di dalam kelas, anak-anak muda kampungnya selalu bercerita tentang satu benda di internet.

Facebook! Ya, Mak Leha tertarik dengan Facebook. Dia meminta anak jirannya mengajarnya tentang Facebook dengan upah beberapa biji gula-gula. Anak jirannya itu bercerita tentang profil, status, komen dan sebagainya. Selepas beberapa hari, Mak Leha rasa bersedia untuk membuka akaunnya sendiri.

Dapatlah dia berhubung dengan anak tunggalnya Asif. Sudah lama dia tidak balik ke kampung. Rindu Mak Leha pada anak lelakinya itu tak terkata besarnya.

Hari ini, Mak Leha menuju ke Pusat Internet 1 Malaysia yang juga terdapat di kampungnya. Dia sudah mendaftar sebagai ahli. Bukan mahal pun, RM5 jer. Mungkin kelajuan internet tidak setanding dengan kelajuan yang digunakan orang-orang di bandar, namun itu sudah memadai bagi Mak Leha yang baru berjinak-jinak dengan internet ini.

Selepas mendaftar di laman Facebook, dia memuat naik gambarnya sebagai profil. Dia muat naik gambar keluarganya sebagai cover photo. Mak leha teruja.

Setelah berpuas hati, dia perlu mencari kawan. Kawan pertamanya? Mestilah Asif.

Di ruangan cari, Mak Leha menaip nama Asif. Terlalu banyak profil yang keluar. Mak Leha menaip pula nama penuh Asif. Selepas membuka semua profil yang diberikan, Mak Leha masih tidak jumpa profil anaknya.

Mak Leha menukar taktik. Dia menaip nama timang-timangan Asif. Ada tiga profil diberikan. Selepas dibelek, dia terjumpa gambar anaknya. Dia menekan tetikus, profil anaknya terpampang di hadapannya.

Betapa kacaknya Asif. Mungkin itu pandangan Mak Leha sahaja. Dia peduli apa. Anak dia.

Selepas menekan butang "Add Friend", Mak Leha membelek dinding Facebook anaknya. Setiap hari anaknya "mengupdate" status Facebooknya.

Mak Leha sedikit terkilan. Asif boleh update statusnya setiap hari namun tiada masa untuk menelefonnya. Tak mengapa. Lepas ini lebih mudah dia dapat berhubung dengan Asif. Hari-hari mereka boleh berbalas message dan bertukar gambar.

Mak Leha terus membaca dinding facebook anaknya itu. Dia terasa semacam. Terutama di ruangan komen di setiap status Facebook anaknya itu.

Mak Leha tidak sedap hati. Dia menekan butang "Photos". Terpampang beberapa album. Ada satu album yang menarik minat Mak Leha. Dia menekan butang kiri pada tetikus selepas mengarahkan anak panah pada album itu.

Mata Mak Leha terbeliak. Kilat bagai menyambar tubuhnya. Guruh bagai menggegar jantungnya.

"Astaghfirullahal azim," itulah kata-kata terakhir Mak Leha sebelum dia rebah. 

Semua orang di pusat itu terkejut. Masing-masing berkumpul di sekeliling Mak Leha. Setelah memastikan yang Mak Leha masih bernyawa, mereka mengangkat dan meletakkan Mak Leha di sofa untuk berehat.

Tok Arip, yang memehati dari tadi, tertanya-tanya apa yang dilihat Mak Leha samapai boleh pengsan. Dia pergi ke arah komputer yang Mak Leha digunakan. Tok Arip menggerak-gerakkan tetikus. Seperti Mak Leha, mata Tok Arip turut terbeliak.

Gambar Hiasan. Maaf jika mengganggu tekak anda.
Boleh Juga Dibaca di Buasir Otak

No comments:

Post a Comment