Kehormatan spesisnya tercabar dek kekalahan itu. Dia mesti memperbetulkan persepsi itu. Kura-kura sepatutnya di pandang sebagai lembap!
Gambar Hiasan |
Kesan kekalahannya seminggu nan lalu masih terkesan. Setiap haiwan yang terserempak dengannya pasti menyindir. Tidak pun memberi senyuman yang sinis.
Ini membakar lagi hati Sang Arnab yang sudah panas. Dendam kekalahannya mesti di balas. Tahulah kamu nanti langit tinggi rendah!
Sang Arnab ternampak Sang Kura-kura yang sedang dikelilingi oleh haiwan lain. Termasuk Raja Rimba. Ini peluang baik. Sang Kura-kura pasti tidak dapat menolak.
Dengan langkah yang gagah, dia menuju ke arah mereka. Egonya tercalar dan dia tidak boleh menunjukkannya.
Sang Kelawar yang nampak kehadiran Sang Arnab terus berkata,"Aku ingat kau tak akan keluar dari sarang seratus tahun lamanya. Bukankah lebih enak tidur di rumah?."
Haiwan-haiwan lain terus tertawa.
"Kau masih muda. Tapi kalah kepada Sang Kura-kura yang berusia 100 tahun. Bagaimana boleh macam tu?" Kata Sang Rusa pula.
Haiwan-haiwan lain terus tertawa.
Dengan muka merah padam, Sang Arnab mencabar Sang Kura-kura,"Wahai Kura-kura! Aku cabar kau untuk perlumbaan sekali lagi! Di hutan belantara tanpa saksi, aku pasti kau menipu di dalam perlumbaan tempoh hari!"
Sang Kura-kura menoleh perlahan-lahan. "Mahu pusingkan kepalapun berkurun lamanya. Bagaimana aku boleh kalah dengannya? Pasti dia menipu!"
"Aku cabar kau Kura-kura untuk berlumba di kawasan lapang. Di mana semua akan menjadi saksi!" Sang Arnab meneruskan cabarannya.
Haiwan-haiwan lain mula berbisik. Ada yang merasakan kata-kata Sang Arnab ada benarnya. Ada juga yang menyanggah.
"Aku terima," balas Sang Kura-kura. "Aku cadangkan kita berlumba di Bukit Keras. Dari puncak ke kaki bukit sebagai permulaan dan penamat. Di situ kawasan lapang seperti kau mahukan. Ramai boleh hadir menjadi saksi."
Sang Arnab berfikir sejenak. Bukit Keras diliputi batu batan dari kaki hingga ke puncak. Cukup lapang untuk ramai menjadi saksi. Perlawanan menuruni bukit memberi kelebihan kepada dirinya. Sang Kura-kura memang bersedia untuk kalah!
"Aku terima!" balas Sang Arnab.
Maka kecohlah perkabaran perlumbaan kedua itu. Seluruh rimba menuju ke Bukit Keras.
Sang Arnab mendaki Bukit sambil memikirkan jalan yang akan diambilnya. Laluan yang di pilih haruslah bebas dari batu batu keras. Bukit yang amat curam itu pasti memberi kelebihan kepada dirinya! Kawasan lapang yang tidak terlindung membolehkan dia melihat di mana Sang Kura-kura berada.
Sepanjang seminggu pengasingannya, dia bukan duduk sahaja. Dia berlatih dan terus berlatih. Menguatkan kakinya. Memakan ramuan yang dapat memberinya lebih tenaga. Tidur yang cukup sebelum tiba hari ini.
Kedua-duanya mengambil tempat masing-masing. Sang Arnab memilih tempat yang berdekatan laluan yang dipilihnya. Memudahkan dia mengelak batu batan di hadapannya sehingga ke kaki bukit.
Sang Kura-kura memilih untuk bermula di sebuah batu besar. Di hadapannya terdapat batu yang lebih kurang besarnya. Memang jarak ke kaki bukit lebih pendek namun pasti sukar bagi Sang Kura-kura untuk memanjat setiap batu itu. Pasti dia akan kalah. Kura-kura memang dijadikan bukan untuk berlari.
Sang Arnab tersenyum.
Raja Rimba bersedia untuk memulakan perlumbaan. Setelah satu ngauman yang kuat diberikan, bermulah perlumbaan itu. Bersoraklah haiwan-haiwan yang hadir.
Sang Arnab terus memecut. Kemahirannya ditonjolkan. Dengan pecutan penuh, dia masih dapat mengelak batu batu besar di bukit itu. Dia menoleh, Sang Kura-kura masih berdiri di batu tempat permulaan perlumbaan. Sang Arnab tersenyum lagi.
Di atas batu itu, Sang Kura-kura memerhatikan kepantasan Sang Arnab. Memang dia sangat pantas.
Sang Kura-kura sudah bersedia. Dia melompat dan memasukkan kepala dan kakinya ke dalam cengkerangnya. Tatkala dia jatuh di batu yang pertama, terus dia melantun ke bawah. Dan setiap batu yang dilanggarnya lantunannya semakin laju.
Sang Arnab menoleh lagi ke belakang. Sang Kura-kura sudah tiada di batu permulaan. Dia mencari-cari Sang Kura-kura.
Terkejutnya bukan kepalang! Dia melihat Sang Kura-kura melantunkan badannya dan telah pun mendahului dirinya. Ketika dia baru separuh perjalanan menuruni bukit itu, Sang Kura-kura sudah sampai di kaki bukit sambil dikeremuni binatang lain untuk meraikan kemenangan Sang Kura-kura.
Sang Arnab memperlahankan langkahnya. Kekalahan keduanya di tangan Sang Kura-kura meluluhkan jiwa....
Haiwan-haiwan lain melambung-lambungkan Sang Kura-kura. Merayakan kemenangannya. Mereka menoleh mencari Sang Arnab di tengah Bukit Keras. Kelibatnya sudah tiada...
No comments:
Post a Comment