Monday, June 9, 2014

DWI (2) : Dua

Inspektor Rahman tiba di bilik pertama, bilik yang dimasukinya berdekatan dengan tangga ke dapur.

Bau darah kembali memasuki hidungnya. Dia memerhatikan sekeliling bilik itu. Selain almari yang hampir roboh, tiada perabot berada di dalam bilik itu. Dua tingkap bilik itu tertutup rapat.Namum itu bukan menjadi fokus Inspektor Rahman.

Satu tubuh manusia yang terkujur menjadi perhatian Inspektor Rahman. Dia mendekati tubuh itu. Mayat lelaki itu terbaring dengan belakang badannya di atas lantai.


Anggota forensik yang baru tiba di bilik tersebut terkejut dengan apa yang dilihatnya. Darah yang berlumuran di sekeliling bilik terutama di sekeliling mayat tersebut, membuatnya tidak berasa selesa. Bau hamis darah mencucuk deria baunya. Menghantar signal ke otak untuk mengarahkan isi perutnya dikeluarkan. Anggota forensik itu menutup mulutnya cuba untuk menahan. Untuk beberapa ketika, dia berjaya.

Inspektor Rahman hanya tersenyum memerhatikan anggota forensik muda tersebut. Sepasang sarung tangan getah dihulur dan Inspektor Rahman menyambutnya.

"Awak duduk di luar dulu. Ambil nafas dalam-dalam. Bila rasa OK sikit, baru masuk," kata Inspektor Rahman. Tanpa membantah, anggota forensik itu keluar.

"Patut bawa lebih orang forensik." Inspektor Rahman kesal dengan keputusan untuk membawa seorang sahaja anggota forensik bersama. Tapi mereka tidak menyangka, kengerian yang menunggu di dalam operasi ini.

Inspektor Rahman kembali memeriksa mayat pertama tadi. Dia membuat beberapa catitan di dalam buku notanya.

"Lelaki. Melayu. 30 - 40 tahun. Tinggi: 1.6 - 1.7 meter. Berat: 80 - 90 kg. Kulit gelap."


Dia memerhatikan luka di leher kanan lelaki itu. Kesan potongan sepanjang 10 cm itu melimpahkan darah yang banyak berdasarkan tompokan darah yang tebal. Dia terus memerhatikan tubuh lelaki itu. Di bahagian peha sebelah dalam lelaki itu juga terdapat kesan potongan. Lebih panjang dari kesan potongan di leher tadi. Inspektor Rahman terus menyusuri tubuh lelaki itu. Matanya tertumpu pada bahagian di atas tumit lelaki itu. Satu lagi kesan potongan yang lebih dalam pada achilles lelaki itu.

Inspektor Rahman membandingkan ketiga-tiga luka itu. Dia dapat simpulkan potongan di bahagian peha dilakukan dahulu dan kemudian di bahagian achilles dan akhir sekali di bahagian leher. Ini berdasarkan kesan potongan yang kasar di kedua-dua bahagian.

Dia menulis di buku notanya.

Anggota forensik muda itu sudah kembali ke bilik dan mula mengambil gambar keadaan bilik. Setelah selesai dia, mengambil gambar mayat tersebut sementara Inspektor Rahman memeriksa sekali lagi bilik tersebut.

"Potongan di peha dan achilles dilakukan dahulu," kata anggota forensik tersebut. Inspektor Rahman mengangguk.

"Dua potongan ini dilakukan pada masa yang lebih kurang sama. Tapi luka di leher beberapa jam kemudian," sambung anggota forensik itu lagi. Inspektor Rahman berhenti dan memalingkan mukanya ke arah anggota forensik tersebut.

Anggota forensik itu menyambung lagi, "Berdasarkan warna darah di sekeliling luka tersebut, warna pada potongan peha dan achilles lebih perang dari di bahagian leher." Dia faham dari muka Inspektor Rahman yang dia mahukan penjelasan. " Berdasarkan pemerhatian saya, potongan di leher dilakukan dalam satu jam lalu sementara potongan di peha dan achilles dilakukan dalam lingkungan dua hingga empat jam lalu. Punca kematian disebabkan kehilangan darah yang banyak.

"Kenapa tunggu?" fikir Inspektor Rahman. Dia cuba mencari sebab mengapa pembunuh lelaki itu menunggu beberapa jam baru menamatkan 'kerjanya'.

Inspektor Rahman menepuk bahu anggota forensik tersebut dan mengisyaratkan supaya megikutnya.

Mereka pergi ke bilik sebelah. Satu mayat lagi terbaring di tengah-tengah bilik itu. Kedua-duanya menghampiri mayat tersebut.

Kedua-duanya terkejut, kesan potongan yang sama dengan mayat sebelum ini. Leher, peha dan achilles.

"Tempoh masa yang sama Tuan," kata anggota forensik itu menjawab soalan yang dia tahu bermain di fikiran Inspektor Rahman.

"Saya tak 100% pasti tapi saya rasa pembunuh itu mencederakan kedua-dua mereka dahulu sebelum membunuh mereka dengan potongan di leher," kata anggota forensik itu.

"Ya. Luka di peha untuk menghilangkan darah dan achilles untuk membuat mereka tidak dapat bergerak," kata Inspektor Rahman." Tapi mengapa ? Mengapa tunggu baru habiskan kerja?"

Sesuatu menangkap mata Inspektor Rahman. Garisan panjang yang tebal di lantai berhabuk seperti sesuatu diseret. Matanya menyusuri seretan itu dan berakhir di tingkap bilik yang terbuka. Dia mendekati tingkap itu. Calitan darah jelas kelihatan di birai tingkap. Inspektor Rahman melihat ke luar di tingkap. Terdapat tompokan darah di tanah di bawah tingkap tersebut.

Inspektor Rahman bergegas keluar dari balik sambil mengarahkan dua anggota polis mengikutinya. Mereka bergerak ke arah tompokan darah di luar rumah itu.

Mereka dapat melihat beberapa tompokan darah lagi mengarah ke arah semak tebal kira-kira lima belas kaki di hadapan mereka. Ketiga-tiga mereka mengeluarkan pistol dan bergerak dengan perlahan menyusuri arah tompokan darah itu.

Apabila tiba di kawasan semak, langkah yang lebih berhati-hati diambil sambil mata mereka memerhatikan kawasan sekeliling.

Mereka berhenti apabila terlihat sekujur tubuh terbaring di hadapan mereka. Dengan perlahan mereka mendekati tubuh itu sambil mengacukan pistol.

"Jangan bergerak!" Kata Inspektor Rahman. Tiada jawapan.

Apabila mereka semakin hampir, tubuh itu bergerak. "Jangan bergerak!" sekali lagi amaran diberikan.

"To...long," suara yang sangat perlahan datang dari tubuh itu.

Selepas memastikan yang semuanya selamat, Inspektor Rahman mendekati tubuh itu. Inspektor Rahman ternampak potongan di leher lelaki itu. Dia tidak perlu mengagak lagi di mana potongan lain yang berada di tubuh lelaki itu.

Muka lelaki itu pucat. Di sebalik kehilangan darah yang banyak, muka lelaki itu lebih kepada ketakutan yang dahsyat. Seperti terlihat hantu.

Inspektor Rahman membuka seragamnya dan menekan potongan di leher lelaki itu. Seaorang anggota bergegas cuba mendapatkan bantuan.

Lelaki itu memandang wajah inspektor Rahman. Terpampang di wajahnya yang dia sedang bergelut dengan nyawanya.

Dia cuba membisik sesuatu kepada Inspektor Rahman. Inspektor Rahman mendekatkan telinganya.

"Du...a," itu kata-kata terakhir dari lelaki itu sebelum tubuhnya terkulai. Tiada nafas lagi keluar darinya.

"Dua?" Inspektor Rahman berkata kepada dirinya sendiri. Masih menekan potongan di leher lelaki itu.


Bersambung....

DWI(1)
DWI(3)

No comments:

Post a Comment