Rumah papan usang itu kelihatan tidak berpenghuni. Semak samun yang tebal, dinding yang lopong dan tingkap yang tertanggal menguatkan indikasi tersebut. Namun ini tidak menggugat pemikiran pihak polis yang mengelilingi rumah tersebut. Risikan telah dijalankan, bukti telah disampaikan. Mereka pasti apa yang dicari berada di dalam rumah tersebut.
Inspektor Rahman mengekori dari belakang sekumpulan polis beruniform yang ditugaskan untuk memasuki melalui pintu dapur. Setiap langkah mereka dilakukan dengan ringan. Tidak mahu penghuni rumah tersebut sedar kedatangan mereka.
Pintu dapur itu diperiksa seorang polis berpangkat kopral. Selepas pasti yang pintu itu masih utuh, dengan berhati-hati tombol pintu itu pula diperiksa. Dua orang lagi polis berseragam berdiri di kiri dan kanan pintu dapur tersebut. Inspektor Rahman berdiri di belakang anggota yang berdiri di sebelah kiri. Anggota polis itu sedikit ke luar sambil mengacukan pistol ke arah pintu dapur sementara Inspektor Rahman rapat ke dinding dapur.
Tombol dipusing dan pintu dibuka perlahan-lahan. Mereka berempat memasuki ruang dapur rumah tersebut dengan berhati-hati. Ruang dapur yang malap memaksa mereka bergerak dengan langkah pendek.
Inspektor pasti yang satu kumpulan lagi telah memasuki rumah tersebut melalui pintu hadapan. Apabila kumpulannya tiba di tangga yang memisahkan ruang tamu dan dapur rumah berkenaan, Inspektor Rahman dapat melihat dua anggota polis berdiri di ruang atas. Salah seorang menunjukkan isyarat dengan dua jari. Inspektor Rahman faham yang isyarat itu menyatakan yang ada dua bilik di ruang atas rumah.
Anggota berpangkat koporal tadi menepuk perlahan bahunya dan menunjukkan ke arah satu bilik kecil di hujung dapur bersebelahan tandas yang terbuka.
Inspektor Rahman mengisyaratkan mereka berpecah, tiga orang untuk memeriksa bilik itu sementara dia dan seorang lagi anggota naik ke atas untuk bersama-sama anggota lain memeriksa dua bilik dia atas.
Inspektor Rahman memanjat tangga dan berdiri di hadapan pintu bilik pertama dari tangga. Empat orang anggota berdiri di hadapan pintu bilik yang kedua. Mereka semua mengacukan pistol ke arah pintu. Bersedia untuk apa yang menanti di sebalik pintu itu.
Dalam kiraan tiga, dua dua pintu ditendang. Kesemua anggota di bilik pertama tergamam. Mereka betul-betul tidak menyangka apa di hadapan mata mereka.
"Tuan!" Kedengaran dua panggilan untuk Inspektor Rahim hampir dalam keadaan serentak. Satu panggilan datang dari bilik kedua dan satu lagi datang dari arah dapur.
"Kami dah jumpa," sambung suara dari bawah. Kata-kata yang membuat Inspektor Rahman bergegas ke arah dapur namun imej di dalam bilik tadi masih melekat di mindanya.
Dia tiba di bilik sebelah tandas. Tiga anggota masih berdiri di pintu bilik. "Dia ada di dalam Tuan. Seorang. Hidup," Kata korporal.
Inspektor Rahman masuk ke dalam bilik. Di hadapannya seorang gadis dalam keadaan duduk dengan kaki di hadapan, lutut di paras dada. Kepalanya tertunduk. Kaki gadis itu diikat. Mata gadis itu itu ditutup dengan kain.
"Sofea ?" panggil Inspektor Rahman. Gadis itu mengangkat kepalanya dengan lemah dan mengangguk.
"Panggil Ambulans dan forensik!" arah Inspektor Rahman.
Korporal cuba membantah. Dia merasakan yang mereka patut melepaskan gadis itu dahulu. Tetapi dia kenal Inspektor Rahman. Seorang penyiasat yang sangat terperinci. Segalanya perlu direkod dahulu. Seorang anggota bergegas keluar.
"Cik Sofea bersabar. Kami akan lepaskan Cik sebentar lagi," kata Inspektor Rahman. Tiada jawapan. Inspektor Rahman memerhatikan sekeliling bilik. Tilam usang di kiri bilik. Sebuah mangkuk dan cawan di tepi tilam. Tingkap bilik ditutup dengan papan. Sedikit cahaya masuk melalui celahan dinding.
Anggota forensik tiba dan mula mengambil gambar. Setelah beberapa gambar Sofea diambil. Inspektor Rahman membuka ikatan kain di matanya dan di kakinya.
Gadis itu kelihatan amat lemah. Beberapa tompokan darah kelihatan di muka dan bajunya. Sofea tidak berkata apa-apa. Inspektor Rahman tidak dapat menggambarkan betapa ngerinya pengalaman dialami gadis itu. Dia mengarahkan Cik Sofea dibawa keluar setelah memastikan yang gadis itu boleh berdiri.
Inspektor Rahman memerhatikan gadis itu dipapah keluar. Kepalanya kembali kepada kengerian yang dilihat di dalam bilik di tingkat atas.
Inspektor Rahman membiarkan anggota forensik memproses bilik itu dan bergerak menuju ke tingkat atas...
No comments:
Post a Comment