Perasaan Deraman berbaur marah dan sedih. Anak lelakinya,Faizul terlantar di katil wad kecemasan sejak dari malam tadi. Dunia patut tahu apa yang terjadi kepada anaknya.
Deraman mengambil gambar anaknya yang sedang koma itu. Beberapa gambar diambil bagi mendapatkan gambar yang terbaik untuk menunjukkan keadaan anaknya itu. Setelah berpuas hati, dia membuka aplikasi Facebook di telefon pintarnya.
Gambar Hiasan |
Setelah menekan butang Status, Deraman menulis,
"Tengok apa yang Polis dah buat dekat anak aku? Faizul kini sedang koma. Doktor kata disebabkan pendarahan otak. Mohon sebarkan. Polis tak guna! Makan rasuah saja kuat"
Setelah gambar yang diambil tadi dimuatnaikkan Deraman menekan butang Post.
Walaupun kemarahannya masih tidak reda, namun sekurang-kurangnya ramai yang tahu ketidak adilan yang berlaku.
15 Jun 10:14 pm.
Sekatan Jalan itu berjalan seperti hari-hari biasa. Korporal Halim sedang memeriksa setiap kenderaan yang menggunakan jalan dua lorong itu. Operasi malam itu boleh dikatakan mudah, kerana tidak ramai pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang.
Tiba-tiba terdengar laporan dari walkie-talkie Korporeal Halim.
"Kami sedang mengejar suspek. Motosikal bernombor pendaftaran Willy, Charlie, Charlie 9881. Sekarang masuk ke Jalan Indah."
Suspek itu akan melalui ke jalan sekatan yang dilakukan mereka. Semua anggota sudah bersedia. Menghalang jalan. Dari kejauhan, mereka dapat melihat sebuah motosikal dipandu laju. Mengekori di belakang adalah sebuah kereta peronda.
Motosikal itu tidak menunjukkan tanda yang ia akan berhenti. Ia terus merempuh pihak polis yang sedang melakukan sekatan. Ada yang sempat mengelak dan ada yang dilanggar oleh motosikal tersebut.
Setelah berjaya meloloskan diri, pemandu motosikat itu cuba menambahkan kelajuan. Pada masa itulah Korporal Halim bertindak. Dia mencapai sebuah kon dan mencampakkannya ke arah tayar motosikal itu.
Dek kerana kon itu terkena rim motosikal tersebut, motosikal itu berhenti. Pemandu dan pembonceng tercampak ke hadapan. Jatuh tersembam ke jalan tar itu kira-kira 5 meter. Berguling-guling kedua-dua mereka sebelum berhenti.
Korporal Halim menghubungi ambulan dan berlari ke arah pemandu dan pembonceng motosikal itu.
15 Jun 9:57 pm
Satu persatu manusia yang lalu diperhatikan Faizul dan Razif. Mereka sedang menunggu peluang mereka. Masing-masing terbayang-bayang apa yang akan dilakukan dengan hasil yang akan diperolehi nanti.
Peluang yang ditunggu telah tiba. Seorang perempuan sarat mengandung sedang berjalan kesorangan meninggalkan suaminya yang sebuk mengambil sesuatu di kereta. Faizul menepuk bahu Razif. Perempuan itu semakin jauh meninggalkan suaminya. Entah apa yang dilakukan lelaki itu. Mereka tidak peduli.
Razif menghidupkan motor. Faizul membonceng di belakang. Pisau dikeluarkan dari sarungnya. Dengan pantas, Razif memandu motosikal RXZnya mendekati perempuan itu. Faizul turun apabila Razif berjaya menghalang perempuan itu.
Beg tangan perempuan itu direntap dengan ganas. Perempuan itu berjaya memegang tali beg tangannya dan pergelutan pun berlaku. Perempuan itu menjerit meminta tolong.
Faizul memerhatikan keadaan sekeliling. Suami lelaki itu sedang berlari ke arah mereka. Orang ramai yang sedang makan di kedai berhampiran juga datang mendekati mereka.
Pisau dihunus namun perempuan itu masih melawan. Masa tidak menyebelahi Faizul. Dia menghayun pisaunya dan terkena pergelangan tangan perempuan itu. Darah meleleh keluar dari kesan potongan pisau Faizul. Perempuan itu ditendang Faizul menyebabkan perempuan itu jatuh terduduk.
Faizul menaiki motosikal dan Razif pun memulas minyak. Faizul menoleh ke belakang. Sekumpulan manusia sedang mengejar mereka. Tetapi yang lebih mengejutkan Faizul, sebuah kereta peronda polis sedang mengekori mereka. Dia tidak pasti dari mana kereta peronda itu datang.
"Polis!" jerit Faizul. Razif menoleh dan terus menambah kelajuan. Mereka masuk ke jalan besar. Namun keadaan jalan yang kosong tidak membantu mereka. Kereta peronda itu masih di belakang.
Razif membelok dan masuk ke Jalan Indah. Tiba-tiba di hadapan mereka terlihat sekatan jalan sedang dijalankan.
"Redah aja!" arah Faizul.
16 Jun 9:23 am.
Mohsin sedih mengenangkan nasibnya. Isterinya, Saleha sedang terbaring di katil wad kecemasan hospital. Dia tidak tahu bagaimana berita tentang kematian kandungan isterinya dapat disampaikan. Pasti Saleha akan bersedih. Setelah bertahun mencuba, kandungan itu merupakan anak pertama mereka.
Dalam kesedihan timbul kemarahan. Dia mengambil gambar isterinya. Aplikasi Facebook dibuka, dia pun menulis,
"Tengok apa yang peragut dah buat dekat isteri aku? Saleha kini sedang koma. Doktor kata disebabkan pendarahan yang banyak. Mohon sebarkan. Peragut tak guna! Dia bunuh anak aku"
Gambar isterinya dimuatnaik dan butang Post ditekan.
*Perlu saya katakan yang cerita ini tak ada kena-mengena dengan sesiapa.
Boleh juga dibaca di Buasir Otak
No comments:
Post a Comment